Thursday, 14 August 2014

Pasukan bola jaring SK Senaling (A) Juara!

Juara, pasukan SK Senaling A (jersi merah jambu) dalam sesi foto bersama
                       YB Dato Hj Ismail Bin Lasim DUN Senaling

Kuala Pilah, 14 Ogos. Pasukan bola jaring Pra Sekolah SK Senaling (A) merangkul kejuaraan dalam kejohanan Sukan PraSekolah Kuala Pilah 2014 anjuran PPD Kuala Pilah di Kompleks Belia Rakan Muda Kuala Pilah hari ini. Pasukan SKS(A) menewaskan rakan sendiri iaitu pasukan SKS(B) di final.

Pasukan bola jaring SK Senaling adalah salah sebuah pasukan yang digeruni pihak lawan sejak dari dulu lagi. Kejohanan bawah 12 tahun juga banyak digondol oleh pasukan dari SK Senaling.

Tahniah diucapkan kepada jurulatih, Cikgu Azida Aripin, Cikgu Norsiah dan Ustazah Nora.
Senaman pemanas badan oleh Cikgu Sulaiman, GPK Koko SK Senaling


Pemain sedang beraksi.


Sunday, 10 August 2014

Kata aluan Guru Besar Pn. Tinah Binti Haji Aziz



Assalammualaikum & Salam Sejahtera,

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT kerana dengan izin-Nya dapat saya memberi sepatah dua kata di dalam ruangan Blog Rasmi Sekolah ini. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada jawatankuasa ICT kerana telah berjaya membina  Blog Rasmi Sekolah untuk SK Senaling.

 Selaras dengan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, laman Blog Rasmi Sekolah ini dirasakan tepat pada masanya. Ianya juga diharapkan dapat memberi pendedahan tentang pentingnya menguasai bidang Teknologi Maklumat & Komunikasi dalam Era Globalisasi kepada semua warga sekolah.

Selain pendedahan tersebut, diharapkan laman ini juga dapat mempertingkatkan kualiti pengurusan dan pendidikan supaya lebih cekap dan mantap serta memberi kemudahan kepada pihak luar khususnya kepada ibu bapa plajar untuk mengikuti perkembangan anak-anak mereka secara dalam talian.

Sebelum saya mengakhiri kata-kata ini, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pembangunan laman Blog Rasmi Sekolah SK Senaling ini.

Sekian, terima kasih.



TINAH BT HJ AZIZ
SK SENALING
KUALA PILAH, N.SEMBILAN

Wednesday, 6 August 2014

Sejarah SK Senaling


Sekolah Kebangsaan Senaling adalah sebuah sekolah yang terletak 5km dari pekan Kuala Pilah dan lebih kurang 1km dari pekan Senaling. Mengikut kata orang tua-tua ‘Senaling’ mendapat nama dari sejenis pokok buluh iaitu buluh sembeling. Sekolah ini telah dibina pada tahun 1908. Semasa itu bangunan sekolah dibuat daripada papan dan beratapkan rumbia. Sekolah ini tidak mempunyai keperluan asas. Murid-muridnya pula terdiri daripada anak-anak kampung berhampiran .Mereka hanya berjalan kaki sahaja ke sekolah.
Selepas merdeka , bangunan lama ditukar kepada bangunan separuh batu dan beratap zink bagi menggantikan bangunan lama yang telah uzur. Pada tahun 1968 pula atap zing bangunan ditukar pula kepada atap ardek. Tahun demi tahun bilangan murid-murid di sekolah ini semakin bertambah. Ini disebabkan oleh banyak projek perumahan didirikan di sekitar kawasan Senaling. Maka pada tahun 1994, bangunan baru empat tingkat dibina dan mula digunakan pada tahun 1996. Bangunan baru ini menempatkan bilik-bilik darjah, pejabat, pusat sumber dan tandas. Pada masa itu terdapat 33 orang kakitangan akademik dan 5 orang kakitangan bukan akademiki .Murid-muridnya pula seramai 457 orang. Sesi persekolahan bermula pukul 7.45 pagi dan berakhir pada 1.05 tengahari. Guru Besar pertama berkhidmat di sekolah ini ialah En.Musa bin Ali. Tolong-menolong, saling bekerjasama dan hubungan yang rapat diantara ibu bapa dan guru-guru menjadikan Sekolah Kebangsaan Senaling sekolah yang cemerlang dalam semua bidang dan telah melahirkan ramai cerdik pandai.